Bahaya Tak Baby Puree Yang Telah Di Frozenkan? Berapa Lama Boleh Bertahan? Sebarkan.

Di barat, makanan bayi yang disediakan di rumah dan disejukbekukan menjadi pilihan buat ibu bapa. Ini kerana, kesibukan ibu pada hari ini menyebabkan ramai di kalangan ibu yang tidak sempat menyediakan sendiri makanan untuk anak.

Disebabkan permintaan ini juga, terdapat pelbagai makanan bayi segera yang dijual di pasaraya seperti bijirin bayi atau makanan tersedia di dalam botol. Adakah makanan segera ini berkhasiat kepada bayi?

Menurut Pakar Pemakanan, makanan segera  seperti bubur segera, makanan dalam jar, tidak digalakkan diberikan kepada bayi kerana mempunyai 60% gula atau garam atau kedua-duanya sekali yang lebih tinggi dan tidak selamat buat bayi.

Oleh itu, untuk memastikan anak mendapat makanan berkhasiat walaupun ibu sibuk bekerja, ibu bapa perlu merancang makanan harian si manja dan mendalami ilmu pengetahuan tentang pemakanan bayi daripada proses penyediaan, cara menyimpan sehinggalah cara memasak.

Berapa lama ketahanan makanan sejuk beku ini?

Jangka hayat makanan yang disejukbekukan bergantung kepada jenisnya. Sayur-sayuran perlu disediakan seminggu sekali dalam bentuk puri, protein seperti ayam, ikan dan daging boleh bertahan dalam sebulan, manakala buah-buahan sebaiknya tidak perlu dipurikan terlebih dahulu untuk mengekalkan khasiatnya.

Tip penting yang perlu dititikberatkan semasa penyediaan makanan sejuk beku.

Ibu bapa perlu memastikan tangan dibersihkan sebelum memegang sebarang makanan.

Peralatan juga perlu dibersihkan dan dinyahkuman (rendam air panas dalam beberapa minit)

Gunakan peralatan mengisar puri khas untuk bayi, jangan campur adukkan untuk mengisar bahan masakan lain.

Gunakan bekas menyimpan khas yang bersih serta BPA free. Ada dijual dalam bentuk bekas kecil-kecil, bekas plastik sejuk beku atau seperti bekas kiub ais.

Untuk menyejukbekukan sayur-sayuran, celur atau stim sayur sehingga masak. Masukkan ke dalam pengisar dan kisarkan sehingga menjadi puri. Sejukkan dalam suhu bilik kemudian masukkan ke dalam bekas kiub ais atau bekas kecil. Masukkan ke dalam bahagian sejuk beku peti ais.

Untuk menyejukbekukan buah-buahan pula, bersihkan, potong dan simpan di dalam bekas kecil, ia dicairkan pada suhu bilik sebelum dipurikan dan segeralah diberikan kepada anak.

Jika disediakan dan disimpan dengan cara yang betul, makanan sejuk beku boleh disimpan selama satu hingga dua bulan, dan maksimum tiga bulan. Ini banyak dipengaruhi oleh peti ais anda.

Jika makanan diletakkan pada ruang sejuk peti ais, jangka hayatnya kurang daripada 48 jam.

Pastikan peti ais berada dalam keadaan baik iaitu pada suhu beku kurang 0°C.

Info harus tahu tentang makanan sejuk beku.

Makanan sejuk beku adalah pilihan kedua terbaik selepas pengambilan makanan segar.

Walaupun makanan disejukbekukan, ia tetap mengekalkan nutrien yang terkandung di dalamnya.

Semua jenis buah dan sayur, jenis ubi, kekacang yang sesuai, ayam, ikan daging boleh dibekukan.

Telur tidak boleh disejukbekukan.

Makanan yang telah dicairkan dan dipanaskan, tidak boleh dipanaskan semula untuk mengelakkan pencemaran.

Makanan yang telah cair, jangan pula disejukbekukan semula.

Sangat digalakkan untuk menghabiskan makanan sejuk beku dalam tempoh sebulan.

Bagaimana cara memanaskan makanan sejuk beku?

Makanan yang beku perlu dikeluarkan dalam kuantiti yang diperlukan dan diletakkan di bahagian peti ais ruangan sejuk semalaman.

Ketika mahu dipanaskan, gunakan mangkuk kaca.

Dua cara memanaskan makanan iaitu dengan menggunakan microwave, cara kedua pula adalah kaedah “double boil”

Untuk kaedah Microwave, masukkan makanan ke dalam mangkuk kaca dan panaskan selama 30 saat. Pastikan makanan betul-betul telah sejuk sebelum memberikan kepada anak. Memanas menggunakan ketuhar gelombang micro akan menyebabkan pemanasan yang tidak sekata kepada makanan. Sebab tu ibu perlu mengacau makanan sehingga sebati dan sejuk.

Bagi kaedah kedua iaitu “double boil”, didihkan air dan letakkan mangkuk kaca di atas air yang mendidih tu. Pastikan menggunakan mangkuk yang tahan panas.

Sumber: ayachaloo.com

Tags:
0 shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *